Powered By Blogger

Smiles......

Smiles......

Followers

Apakah pendapat anda terhadap PKPGB?

Tuesday, April 13, 2010

Teknologi di dalam bidang Pendidikan

1.0 Pengenalan

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan di abad 21 bukanlah sesuatu yang baru. Malah boleh dikatakan hampir semua negara telah mengikuti perkembangan ini dan cuba merealisasikannya. Di Eropah, bidang teknologi maklumat dalam bidang pendidikan telah diperkenalkan sejak awal tahun 60an. Dalam konteks pendidikan, komputer dan teknologi maklumat dapat membantu dalam pelbagai urusan dan berpotensi mengayakan lagi persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Zawawi Jahya dalam Majalah Pendidik (2005): ‘Kita masih menggunakan minda zaman batu tetapi beropersi dalam era teknologi maklumat dan telekomunikasi yang sangat canggih’. Dalam ledakan teknologi maklumat masa kini, bidang pendidikan juga tidak terkecuali dalam menempuh gelombang ini. Penggunaan teknologi maklumat semakin berpengaruh dalam bidang pendidikan dewasa ini. Teknologi maklumat bukan sahaja mengenai penggunaan komputer tetapi juga mencakupi penggunaaan komputer dan telekomunikasi yang kini digunakan secara berleluasa sebagai satu sistem memproses dan menyebarkan maklumat.

Inovasi dan perkembangan teknologi maklumat termasuk teknologi TMK dalam era globalisasi yang berorientasikan sains dan teknologi dalam pengurusan dan kemasyarakatan akan bertambah maju pada masa akan datang. Tambahan pula, Malaysia merupakan salah sebuah negara Asia yang proaktif dalam pembangunan infrastruktur dan infrostruktur di peringkat antarabangsa, adalah menjadi perubahan drastik dan terpengaruh dalam arus peralihan global ke arah perubahan teknologi yang pesat. Bukan mudah untuk membuat peralihan daripada pengguna manual pertanian kepada sains dan teknologi, daripada kefasihan berbahasa kepada kefasihan berteknologi. Di Malaysia penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) atau informartion technology and communication (ICT) dalam bidang pendidikan masih di peringkat permulaan namun pengunaannya semakin pesat dan memberangsangkan.

2.0 Definisi Teknologi

Menurut Turban et al.(2005), teknologi maklumat merujuk kepada bahagian teknologikal dalam sistem maklumat. Ia meliputi perkakasan, pangkalan data, perisian, rangkaian, dan peranti-peranti yang lain. Mengikut Galbraith (1967), ‘technology is the systematic application of scientific or other organised knowledge to practical tasks’. Manakala merujuk Finn (1960); Heinich, Molenda dan Rusell (1989); Romizowski (1988) dalam buku Yusup Hashim dan Razmah Man (2006) yang bertajuk Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi telah menjelaskan bahawa teknologi membawa dua maksud:

i. Teknologi sebagai proses: Penggunaan pengetahuan sains dan lain-lain cabang ilmu untuk menghasilkan tugas-tugasan pembelajaran yang praktikal. Suatu proses ke arah penyelesaian kepada masalah-masalah dengan menggunakan teknik, kaedah, reka bentuk atau alat yang berkesan dan teruji.
ii. Teknilogi sebagai produk atau bahan: Penghasilan perkakasan dan perisian hasil dari proses teknologi itu sendiri. Contohnya, projektor (perkakasan) dan filem, (perisian) adalah hasil teknologi.

Yusup Hashim dan Razmah Man dalam buku Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi juga menyatakan bahawa teknologi maklumat dan komunikasi ditaksirkan dari dua sudut iaitu sudut produk dan sudut proses. Dari sudut produk teknologi maklumat merupakan peralatan yang boleh digunakan untuk membina, mengumpul, menyimpan, memproses dan menyalurkan serta menyebarkan maklumat secara pantas seperti penggunaan komputer, peralatan telesidang, CD ROM dan perisian komputer untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Dari segi proses pula, teknologi maklumat boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan peralatan dan bahan teknologi komunikasi seperti Internet (e-mail, www, forum dan laman web), telesidang video atau instruksi berasaskan komputer (IBK).

Menurut Abdul Manaf Bohari dan rakan-rakan (2006) dalam buku Sistem Maklumat Dalam Organisasi Komtemporari mendefinisikan teknologi maklumat dan Komunikasi sebagai komunikasi yang menggunakan teknologi terkini sebagai alat untuk berhubung antara satu sama lain tanpa mengira situasi, masa, dan lokasi geografi.

Tiga asas utama sistem teknologi maklumat adalah perkakas komputer, perisian komputer dan komunikasi data. Sinergi antara ketiga-tiga teknologi tersebut berupaya menggerak dan mewujud satu kuasa teknologi yang bernilai dan berdaya maju dalam aspek komunikasi atau perhubungan. Teknologi maklumat diperkenalkan bagi memajukan lagi sistem pendidikan harian di sekolah. Oleh yang yang demikian kita sebagai pendidik seharusnya tidak ketinggalan dalam mendalami ilmu bagi bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

3.0 Matlamat

Matlamat kurikulum Teknologi Maklumat peringkat sekolah ialah untuk membentuk pelajar yang berpengetahuan secara menyeluruh tentang teknologi maklumat dan berkemahiran menangani maklumat dengan menggunakan teknik dan perkakasan teknologi maklumat bagi menyelesaikan masalah. Di samping pengetahuan dan kemahiran, kurikulum Teknologi Maklumat juga membentuk pelajar yang bersikap positif terhadap impak dan sumbangan teknologi maklumat kepada masyarakat dan kehidupan harian, supaya dapat menyumbang secara berkesan dan sepenuhnya dalam masyarakat dan ekonomi berteknologi di tempat mereka hidup dan bekerja.

4.0 Objektif

Ke arah mencapai matlamat kurikulum, objektif berikut digariskan bagi membolehkan pelajar:-
1. Mengkaji, mengguna dan memahami sistem dan persekitaran yang berkaitan dengan
teknologi maklumat;
2. Membina pengetahuan tentang prinsip dan proses teknologi maklumat;
3. Mengenal pasti serta meneroka keperluan dan peluang yang boleh ditangani melalui
teknologi maklumat;
4. Menjana idea bagi memajukan teknologi berkaitan dengan keperluan yang dikenal
pasti;
5. Mengguna teknologi maklumat dengan berkesan untuk berkomunikasi dan
menyelesaikan masalah;
6. Menyedari implikasi penggunaan teknologi maklumat terhadap masyarakat dan
kehidupan harian;

5.0 Kebaikan dan Kepentingan Teknologi terhadap Bidang Pendidikan

Teknologi maklumat telah mengubah cara manusia bekerja. Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier. Everyday tasks are simplified ”. Beliau juga menyatakan bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran dan pembelajaran.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan sistem Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) ini, terdapat banyak kebaikannya. Antaranya kita akan dapat berfikiran secara terancang dan dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih berkesan, aktif dan bermutu.

Selain daripada itu, ianya juga terdapat perisian yang boleh kita gunakan dalam pengajaran kita. Perisian ini mempunyai nota, soalan dan ulangkaji yang membolehkan murid-murid berinteraksi secara langsung dengan komputer. Kaedah ini boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi sesetengah guru yang juga boleh digunakan sebagai pengganti guru semasa guru tiada dalam kelas.

Teknologi maklumat dan komunikasi juga boleh digunakan untuk merangsang minda murid supaya lebih segar dan sentiasa memberikan tumpuan sepanjang proses pembelajaran. Di samping itu, penggunaan ini juga boleh melibatkan internet. Dengan adanya internet, guru dan murid boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara terus-menerus.

Sejak perlaksanaan teknologi di sekolah sejak beberapa tahun yang lalu, terdapat beberapa perubahan yang dapat dilihat dengan jelas kepada pelajar dan guru-guru di sekolah yang betul-betul menggunapakai teknologi di sekolah. Lebih-lebih lagi peningkatan dalam kualiti dan peratus lulus peperiksaan awam. Dengan pengajaran dan ulangkaji telah diselangseli dengan TMK dan didapati penumpuan pelajar lebih dan mereka lebih memberi perhatian sehingga di saat terakhir pengajaran.

Apabila guru-guru mengunakan teknologi di dalam pengajaran mereka, pelajar ternyata lebih memberi penumpuan dan lebih memahami tajuk tersebut. Sebagai contoh, di dalam pengajaran Matematik, dengan menggunakan perisian yang dibekalkan dan didapati pelajar lebih seronok untuk belajar kemungkinan disebabkan ada audio, video dan grafik yang menarik berbanding guru yang menggunakan papan hitam sahaja (‘chalk and talk’ method).

Dengan penggunaan kemudahan komputer yang kini telah disediakan oleh kementerian pendidikan hampir di setiap sekolah, pendidik akan dapat menggunakannya dengan lebih cemerlang. Pendidik haruslah menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang melibatkan penggunaan makmal komputer. Selain daripada itu, pendidik juga boleh menggunakan pelbagai perisian komputer berkaitan pendidikan yang kini mudah didapati di pasaran.

Sepanjang proses pengajaran sebagai contoh bagi subjek sains, penggunaan teknologi amatlah berguna. Ini kerana ianya boleh melibatkan murid secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, murid juga akan dapat berinteraksi dengan guru lebih kerap untuk mendapatkan maklumat mengenai apa yang diajarkan. Oleh yang demikian penggunaan teknologi amatlah berguna berguna kepada para pendidik sekarang.

6.0 Isu dan Cabaran

Namun disebalik kecanggihan teknologi yang sedia ada ini ada juga isu dan cabarannya. Antaranya adalah bagi sesetengah sekolah terutama Sekolah Kurang Murid dan sekolah-sekolah di kawasan pendalaman dan terpencil yang tidak mempunyai kemudahan makmal komputer, muridnya tidak dapat berinteraksi secara terus dengan penggunaan komputer. Hanya guru yang boleh menggunakannya. Jadi murid akan rasa ketinggalan.

Selain daripada itu, penggunaan komputer ini dengan kerap juga boleh mendatangkan kerosakan pada komputer itu sendiri dan kos untuk memperbaikinya kadang-kadang amatlah mahal. Antara masalah yang paling utama adalah semasa penggunaan disket atau internet. Penggunaanya yang tidak terkawal boleh menyebabkan kehadiran virus dalam komputer berkenaan dan kerosakkanya amatlah berat.

Oleh yang demikian penggunaan teknologi maklumat ini haruslah dengan pantauan daripada guru-guru yang pakar ataupun guru bertugas supaya ianya dapat digunakan untuk jangka masa yang panjang dan mengurangkan risiko menanggung kerosakan.

7.0 Persediaan Guru dan Penerapan budaya TMK

K-Ekonomi merupakan isu utama yang disarankan oleh Perdana Menteri kita, maka seharusnya pengetahuan tentang teknologi maklumat adalah penting bagi guru-guru dalam membentuk generasi yang akan datang. Ini sejajar apa yang dikatakan oleh Yusup Hashim dan Razmah Man (2002): Negara beralih dari ekonomi pertanian, perindustrian kepada ekonomi pengetahuan. Ekonomi pengetahuan bermaksud pembinaan, pembangunan, pengagihan dan penggunaan ilmu pengetahuan dan maklumat untuk meningkatkan produktiviti. Pengetahuan dijadikan faktor pengeluaran menggantikan pertanian atau modal untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
Watson (1991) menyatakan “ empayar di masa depan ialah empayar pemikiran dan minda.” Untuk mengembangkan pemikiran dan minda pelajar khususnya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat di sekolah perlu digubah kepada pemikiran penyelidikan, mengumpul maklumat, menganalisis data ke arah menggalakkan kreativiti dan motivasi pelajar. Pendekatan pengajaran secara tradisional secara sogokan nota-nota seharusnya dikikis dari pemikiran guru tetapi diubah dengan membekalkan pengetahuan dan kemahiran ke arah mendapatkan maklumat.
Kini penggunaan komputer dan teknologi maklumat boleh dikatakan merangkumi setiap kegiatan harian dalam hidup kita. Sebagai contoh, kita lihat dalam bidang pendidikan. Penggunaan teknologi maklumat adalah amat penting terutama sekali sebagai alat membantu pengurusan. Ianya digunakan untuk menyusun sistem data supaya menjadi kemas dan teratur selain dari cepat dan terkini. Ianya juga boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar yang terbahagi kepada 4 jenis iaitu mod tutorial untuk pengajaran yang lebih interaktif, mod penerokaan untuk murid merasai pengalaman menjalankan eksperimen, mod aplikasi supaya murid akan lebih memberi tumpuan dan mod komunikasi yang amat sesuai untuk proses pengajaran jarak jauh.
Rasa tanggungjawab untuk membawa perubahan bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik adalah dorongan utama buat guru yang menghayati penggunaan teknologi di dalam bidang pendidikan. Menyediakan bahan pengajaran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi sebenarnya banyak melibatkan peruntukan persendirian guru kerana ia memerlukan guru mengorban masa, tenaga dan wang untuk menyediakan bahan tersebut. Cabaran ini ditambah pula dengan kekurangan perisian yang sesuai di pasaran di samping kos yang tinggi untuk mendapatkannya. Namun guru perlu menyedari betapa pentingnya menggunakan kaedah terkini agar pelajar tidak ketinggalan di dalam bidang teknologi masa kini. Inilah motivasi untuk golongan guru tersebut menjalankan amanat di dalam bidang pendidikan.
Usaha bersungguh-sungguh menggunapakai tenologi dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja memanafaatkan tugasan dan pelajar malah ia juga berjaya menjadi contoh kepada rakan seperjuangan dan pelajar lain. Teknik ini dan keberkesanannya telah menjadi ikutan guru-guru lain dan seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan satu budaya TMK di sekolah.
Apa yang penting untuk membentuk budaya TMK di sekolah ialah penekanan dan fokus terhadap guru terutamanya menyediakan kemudahan komputer khas buat guru seperti di dalam bilik guru. Selain dari itu, para guru hendaklah memberi latihan dan menggalakkan pelajar mengikuti aktiviti bagi menyedia bahan pengajaran bersama.

Walaupun memakan masa,tenaga dan wang, bahan pengajaran yang dibina berasaskan teknologi hanya perlu dibuat sekali sahaja dan boleh diguna berulang kali untuk kelas yang berlainan dan untuk tahun-tahun seterusnya. Jadi guru tidak lagi perlu menyediakan untuk tahun akan datang tetapi berkemungkinan mereka akan membuat penambahbaikan kepada bahan yang telah mereka sediakan agar ia bersesuaian dengan tahap pelajar pada tahun tersebut.

Apa yang lebih memanafaatkan lagi ialah perkongsian bahan pengajaran kerana guru tidak perlu menyediakan semua tetapi sebahagian bahan yang boleh dikongsi dengan guru lain yang telah menyediakan bahan yang lain. Ini semestinya dapat menjimat masa guru dan menambah koleksi bahan pengajaran mereka.

Dengan pengenalan teknologi di dalam pendidikan dan penggunaan bahan tersebut, secara tidak sedar guru sekolah telah celik teknologi maklumat. Sekiranya ditugas mengganti guru yang tidak hadir pun, mereka hanya perlu membawa seunit laptop ke dalam kelas untuk melaksanakan tugasan dengan efektif dan tanpa rasa bosan.

Sungguhpun dorongan untuk memberi pengajaran yang terbaik agar ia menjadi lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar, usaha guru TMK mahupun guru lain dalam mengguna pakai TMK tidak akan mencapai kejayaan tanpa sokongan daripada beberapa pihak. Antaranya adalah sokongan kuat daripada pihak pentadbiran sekolah terutama pengetua atau guru besar, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan juga sokongan dan kerjasama di antara para guru sendiri khasnya guru pusat sumber sekolah dan guru data yang lebih berpengetahuan serta berkemahiran dalam sistem TMK.

8.0 Maju lebih jauh

Naluri ingin tahu di kalangan guru kerana tidak mahu ketinggalan dalam bidang teknologi terkini juga penting lebih-lebih lagi bila mendapat penekanan oleh pihak JPN dan KPM di dalam bidang teknologi pendidikan. Sebagai contoh, Projek PPSMI dapat memberi kesan positif dalam penggunaan teknologi di kalangan guru di mana guru “terpaksa” tahu TMK. Sekarang merupakan zaman ICT ataupun TMK bermaksud semua orang perlu tahu TMK. Guru sekarang tahu dengan ada pengetahuan TMK mereka dapat menjimatkan masa dan memudahkan kerja mereka. Pelajar lebih seronok untuk belajar kemungkinan disebabkan ada audio,video dan grafik yang menarik berbanding guru mengunakan papan hitam.

Perkongsian Pintar Pendidikan (SEP) di antara TIME Engineering Berhad, Prestariang Technology Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Intel Technology Sdn Bhd telah dimeterai pada bulan Mei 2005 bagi membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyepadukan pembangunan professional keguruan dan latihan, membangunkan infrastruktur bagi komunikasi dan kolaborasi guru serta melaksanakan program bagi meningkatkan pengiktirafan guru.

Projek Sekolah Angkat KPM-Intel adalah kerjasama antara kementarian dengan Intel Malaysia untuk meningkatkan aplikasi pengetahuan komputer dan teknologi maklumat yang diintegrasikan dalam aktiviti pengarjaran dan pembelajaran di sekolah. Program itu juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk memperluas penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah melalui program pembestarian sekolah sebagai usaha ke arah merealisasikan teras ketiga dalam Rancangan Malaysia kesembilan iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan.
8.1 Faktor Sekolah

Peranan dan Sikap pengetua dan guru besar:
Mengikut Rogers (1995) terdapat tujuh peranan yang dimainkan oleh agen perubahan:
i. Menimbulkan keperluan dan semangat untuk perubahan.
ii. Mewujudkan dan mengeratkan hubungan dengan penerima dan pengguna inovasi.
iii. Mendiagnosis masalah dan keperluan pengguna.
iv. Mencetuskan keinginan untuk perubahan.
v. Menterjemahkan keinginan terhadap perubahan kepada tindakan.
vi. Menstabilkan perubahan atau pembaharuan serta berusaha mengekalkannya.
vii.Menyerahkan tanggung jawab sepenuhnya kepada pengguna.

Oleh kerana penggunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan semakin berleluasan dan penting, sebagai agen perubahan dalam kurikulum di sekolah, pengetua dan guru besar memainkan peranan yang besar untuk membawa perubahan. Mereka harus berkebolehan mempengaruhi semua warga sekolah terutamanya guru untuk menerima inovasi dalam proses P&P. Sikap pihak pengurusan sekolah (pengetua atau guru besar, penolong kanan) adalah kritikal terhadap pembentukan dasar dan amalan di peringkat sekolah. Mereka adalah penggerak yang boleh memotivasikan setiap guru supaya mempunyai misi dan objektif yang sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolah.
Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan masa, sumber dan sokongan serta galakan moral kepada kakitangan atau guru yang memainkan peranan penting (Zainab Hussin, 2005). Sikap pengetua atau guru besar dan pentadbir yang lain tidak mengambil serius terhadap inovasi pendidikan akan melemahkan kesungguhan guru-guru yang mungkin telah bersedia menghadapi cabaran perubahan. Pengetua atau pentadbir yang tidak prihatin akan keperluan masa depan akan menyebabkan organisasi pendidikan ketinggalan. Maka, pengetua dan guru besar harus memainkan peranan sebagai pemangkin, penyelesai masalah, pembantu proses dan penghubung sumber seperti yang disyorkan oleh Havelock (1995).

8.2 Faktor Guru

i) Persepsi guru terhadap kepentingan komputer

Dapatan dari pemantauan kolaboratif Sekolah Bestari yang dijalankan pada tahun 2001 di semua sekolah Bestari seluruh negara mendapati walaupun guru bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin proses pengajaran dan pembelajaran konvensional relevan dengan sistem peperiksaan. Sekolah-sekolah lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan.

ii) Kerisauan untuk menghadapi perubahan

Selain daripada sikap yang tidak menganggap teknologi itu penting, terdapat juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan teknologi itu sendiri. Sebenarnya, persediaan dan penerimaan guru terhadap perkembangan dan pengaruh teknologi dalm kehidupan seharian dan proses P & P bermula dengan keyakinan diri dan sikap yang positif. Menurut Zorainawati Wati abas (1991), terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer iaitu takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, takut kerana mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi iaitu tahap inferior yang tinggi dan ada guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.

iii) Masa dan beban tugas guru

Mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru menyediakannya (Holmes, 1999). Persediaan diperlukan termasuk dari aspek menyediakan bahan mengajar serta untuk setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 33 waktu seminggu, adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk setup bahan mengajar di makmal komputer.
Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru data, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam.
Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri (self access, self pace and self excel). Bahan-bahan pengajaran atau dalam bestari disebut sebagai pakej pembelajaran juga menitik beratkan kepelbagaian kecerdasan pelajar, keadaan ini secara tak langsung memerlukan persediaan yang teliti dan masa yang lama dalam membina pakej-pakej pembelajaran tersebut.
iv) Kemahiran komputer dan pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P

Aspek pembaharuan dalam kaedah mengajar dengan menggunakan teknologi masih terbatas kerana tidak semua guru telah dilatih dan mahir dalam penggunaannya. Proses pengajaran memperalatkan teknologi menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru. Tidak semua bahan pengajaran telah tersedia untuk digunakan terus. Dengan adanya kemahiran komputer, guru dapat mencurahkan ilmu dan kemahiran dalam subjek masing-masing dan kaedah pengajaran dapat dipelbagaikan, dengan demikian peralatan-peralatan teknologi yang dibekalkan ke sekolah-sekolah tidak menjadi gajah putih yang hanya digunakan untuk membuat soalan-soalan peperiksaan.
Dapatan kajian Robiah Sidin, Juhana Salim dan Nor Sakinah Mohamad (2003) menunjukkan penggunaan komputer oleh guru adalah pada tahap yang minima iaitu sekali sekala dalam masa sebulan. Dapatan juga menunjukkan guru-guru kerap menggunakan hanya tiga jenis program iaitu pemprosesan perkataan, mengintegrasikan pemprosesan perkataan dalam pengajaran dan pengurusan fail. Guru-guru jarang menggunakan pangkalan data, persembahan mutimedia, persembahan grafik, mel elektronik dan laman web dalam pengajaran. Buat masa kebelakangan ini, lebih ramai guru yang memperolehinya secara pembacaan dan pengalaman sendiri.
8.3 Sokongan daripada pihak luar
Untuk memantapkan integrasi teknologi maklumat & komunikasi dalam proses pembelajaran dan pengajaran, pihak sekolah harus menggunakan pelbagai perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta masyarakat sekeliling. Pusat Sumber Pendidikan Negari (PSPN) merupakan sumber rujukan dan gedung ilmu yang paling relevan untuk mendapat khidmat bantu mengenai teknik dan kaedah pembelajaran dan pengajaran menggunakan teknologi maklumat & komunikasi. Selain daripada itu, pengkongsian kepakaran antara sekolah sekawasan juga boleh dilakukan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran teknologi maklumat & komunikasi guru dan semua warga sekolah.
8.0 Peranan guru dalam era TMK
Masyarakat kita sedang mengalami transformasi menyeluruh. Perubahan itu didorong oleh perkembangan Information Technology and Telecommunications (IT & T). Maka agar guru dan pendidik tetap ikut berperanan dalam era Learning Society abad 21, mesti melakukan transformasi diri: (a) trampil menggunakan teknologi informasi dan (b) menjadi seorang pendidik, yang dari kata-kata, perilaku dan sikapnya dapat mentransfer nilai-nilai kehidupan (soft skill).
Guru merupakan pemimpin yang harus berperanan sebagai agen perubahan untuk melakukan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah (Berita Harian, 20 Julai, 2002). Kenyataan ini mecerminkan bahawa dalam sesebuah sekolah, guru memainkan peranan yang penting secara positif. Malah menjurus kepada pengertian yang lebih mendalam bahawa guru adalah individu yang menggariskan suatu hala tuju, membentuk warga pelajar ke arah merealisasikan hala tuju tersebut dengan nilai-nilai kepemimpinan yang positif (Abdul Ghani Kanesan dan Mohd. Yahya Fadzil Jusoh, 2008). Kepemimpinan guru dalam budaya sekolah yang mengutamakan TMK dapat dilihat menerusi beberapa peranan berikut:
8.1 Pengajar
Guru merupakan agen mempertingkatkan prestasi pelajaran dan penggunaan TMK pelajar. Mereka perlu memahamkan pelajar tentang konsep dengan mudah, sistematik, seronok dan bermakna. Di samping itu, guru turut sama berperanan sebagai individu yang menjadi jambatan rujukan pengetahuan dan maklumat tentang TMK kepada warga pelajar.
8.2 Pembimbing
Guru membimbing pelajar ke arah bersikap rasional, realitik, kondusif dalam pembelajaran sistem TMK dan menyelesaikan masalah ekoran cabaran yang ditemui. Apabila pelajar dapat menembusi proses pembelajaran yang kondusif, maka secara tidak langsung situasi ini menyediakan diri mereka dalam aspek pencapaian yang baik.

8.3 Inventor

Guru memperkenalkan inovasi teknik dan sebagai agen perubahan kepada suasana dan persekitaran pembelajaran yang menggunakan teknologi secara giat dan berkesan. Guru harus mempunyai keyakinan dan berdaya tinggi dari aspek kreativiti dan inovasi dalam proses mengajar TMK. Hal ini akan menjadikan pelajar tertarik kepada pengetahuan dan pembelajaran TMK. Jika segala atribut dalam budaya diterapkan oleh guru menjadi ikutan pelajar, maka amalan ini akan membina suatu budaya sekolah.
9.0 Kesimpulan

Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan bermaksud menggunakan teknologi secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Integrasi TMK dalam bidang pendidikan merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang sepenuhnya di antara pentadbir sekolah (pengetua dan guru besar), guru, pelajar, ibu bapa dan pihak luar. Semua warga sekolah mesti menerima perubahan dan fenomena TMK yang semakin hari semakin penting di sekolah.

Sebagai tenaga pengajar dan agen perubahan di sekolah dan alam pendidikan, para guru perlu memainkan peranan sebagai pengajar, pembimbing dan inventor yang positif dan berkesan bagi menjayakan pelaksanaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah. Guru-guru mesti membuat persediaan yang rapi baik dari segi mental (berfikiran terbuka, positif dan sanggup menerima perubahan serta cabaran), sikap (ingin tahu dan belajar, berkeyakinan diri, kreatif dan inovatif) mahupun dari segi fizikal (penggunaan ABM dengan pengetahuan dan kemahiran TMK). Ini sejajar dengan nasihat yang diberikan oleh Tuan Haji Hussin bin Haji Harun, Tuan Pengarah Pelajaran Perak, dalam Pendidik Bestari: Bicara Bestari (2008): Keperluan tenaga abad ke 21 dicerakin dan dilaksanakan melalui pembangunan potensi kemanusiaan secara bersepadu, memahami aspirasi dan agenda nasional, menguasai sepenuhnya bidang ICT, mengamalkan pembangunan penyelidikan (R&D), teknologi tinggi (high tech) dan pengurusan kewangan mapan. Perlu juga dipersiapkan generasi ketiga yang berdisiplin, berhemah tinggi, mempunyai jati diri, memiliki ciri-ciri kreatif, inovatif, responsif, proaktif, progresif dan produktif, dalam menghadapi proses dan cabaran globalisasi, menterjemah dalam bentuk realiti sebuah negara Malaysia yang maju dalam acuan sendiri.
Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan pelajar-pelajar yang serba boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak-kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang rapi harus diberikan apabila menggunakan teknologi canggih ini.



Rujukan

Abdul Ghani Kanesan dan Mohd. Yahya Fadzil Jusoh. (2008). Majalah EP: Ehwal
Pendidikan. Satin Timur Sdn. Bhd.: Shah Alam, Selangor.

Abdul Manaf Bohari, Nur Haryani Zakaria, Norliza Katuk & Zahurin Mat Aji.(2006).
Sistem Maklumat dalam Organisasi Komtemporari. Prentice Hall. Pearson
Malaysia Sdn. Bhd.: Selangor.

Berita Harian, 20 Julai, 2002. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris. H.5

Galbraith, J. (1967). The new industrial state. Boston: Houghton Mifflin.

Havelock, R. G. (1995). The Change Agent’s Guide, (Edisi ke-2), New Jersey:
Educational Technology Publications.

Holemes, W. (1999). The Transforming Power of Information Technology. Community
College Journal, 70 (2), m.s. 2-3.

Hussin bin Haji Harun. (2008). Pendidik Bestari: Bicara Bestari. Buletin Jabatan
Pelajaran Negeri Perak. Bil. 1/2008.

Robiah Sidin, Juhana Salim dan Nor Sakinah Mohamad. (2003). Pembudayaan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi di Kalangan Pelajar Melayu dalam Arus Globalisasi.
Prosiding Seminar Kebangsaan Arus Perdana II, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rogers, E. (1995). Diffusion of Innovations, (Edisi ke-4), New York: Free Press.

Turban, E., McLean, E., & Wetherbe, J. (2005). Information Technology for Management:
Making Connection for Strategic Advantages (2nd eds). New York: John Wiley
& Sons.

Watson, Scott, B. (1991). Cooperative Learning and Group Educational Modules: Effects
on Cognitive Achievement of High School Biology Students. Journal of research
in Science teaching.

Yusup Hashim dan Razmah Man. (2002). Peranan Pusat Sumber Pendidikan dalam Zaman
ICT. Dalam Razmah dan Yusup (Penyusun), Instruksi dan Pembelajaran
berasaskan Teknologi: Satu Penilaian semula, Persatuan Teknologi Pendidikan
Malaysia: Kuala Lumpur.

Zainab Hussein. (2005). Factors Affecting Distance Students use of the Internet
in Communication and interaction as a student support system. Disertasi Ph.D
Universiti Malaya.

Zawawi Jahya.(2005). Majalah Pendidik. Wihad Publication sdn. Bhd.: Kuala Lumpur.

Zorainawati wati Abas. (1991). Sistem ComIL: A Malaysian breakthrough for Computers-in-

Monday, March 15, 2010

Peranan komputer sebagai ABM Maths

Teknologi komputer memainkan peranan penting dalam setiap cabang kehidupan manusia hari ini. Banyak bidang tugas yang telah diambilalih oleh komputer. Komputer bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pejabat, tetapi boleh dijadikan alat yang penting dalan bidang pendidikan. Guru atau para pendidik boleh menjadikan komputer sebagai rakan untuk membantu mereka dalam kerja-kerja bukan sahaja di pejabat tetapi di bilik darjah. Secara amnya, penggunaan komputer dalam pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu sebagai alat pentadbiran, alat penyelidikan dan media pengajaran-pembelajaran. Dalam penulisan ini saya akan memberi penumpuan kepada peranan yang ketiga iaitu komputer sebagai media pengajaran-pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Matematik.


Peranan komputer dalam bidang pendidikan semakin hari semakin matang. Mesin canggih ini diaplikasikan dengan pelbagai tujuan baik di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Komputer berperanan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran. Untuk itu, kewujudan sumber pengajaran yang fleksibel dan membantu pembelajaran murid amatlah penting. Kini penegasan para pendidik di seluruh dunia ialah terhadap pengajaran bersepadukan komputer atau dalam bahasa Inggerisnya, Computer Integrated Instruction (CII). Penegasan utama CII ialah pengintergrasian komputer ke dalam kurikulum. Fokus utama para pendidik zaman sekarang terutama di negara membangun seperti Malaysia adalah bagaimana menggunakan komputer bagi memudahkan proses pembelajaran isi kandungan, perkembangan kemahiran pemikiran beraras tinggi (Higher Order Thinking Skill) dan penyelesaian masalah; dan bukan pada komputer semata-mata. Ini bermakna seseorang pelajar tidak akan mempelajari tentang komputer semata-mata. Komputer tidak akan ditawarkan sebagai satu mata pelajaran khusus atau sebagai kursus baru dalam kurikulum, yang disampaikan tanpa hubungkaitan dengan kegunaannya dalam bidang-bidang lain atu kehidupan seharian. Sebaliknya guru akan merancangkan aktiviti-aktiviti pengayaan berkomputer yang sesuai. Di dalam aktiviti-aktiviti ini, murid-murid akan menggunakan komputer dan perisian aplikasi yang sesuai sebagai satu alat untuk membantu mereka menyelesaikan masalah dan memahami isi pelajaran.


Kehadiran komputer dalam dunia pendidikan Matematik hari ini bukan sekadar mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran tetapi memberi sumbangan besar dalam dunia penyiasatan dan penerokaan Matematik. Guru Matematik harus menerima hakikat perubahan ini dan akur bahawa komputer adalah satu alat pengajaran-pembelajaran era moden yang tidak boleh disekat lagi.

Wednesday, February 24, 2010

Welcome

Selamat datang ke blog saya. Salam berkenalan yang ingin berkenalan dengan saya.

Welcome

Selamat datang ke blog saya. Salam berkenalan yang ingin berkenalan dengan saya.